Memacu Dasar Iklim, Sarawak Percepat Peralihan Ke Ekonomi Rendah Karbon

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Sarawak dan rantau Asia Tenggara terus memberikan komitmen untuk memacu penggubalan dasar-dasar iklim serta mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
 
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, menerusi kepimpinan yang kukuh, pelaburan strategik serta kolaborasi antara pihak berkepentingan, rantau Asia Tenggara khususnya Sarawak dapat menjadi contoh dalam pertumbuhan ekonomi hijau dan pembangunan lestari.
 
Menurut beliau, Sarawak telah mencapai kejayaan penting tahun lalu dengan memperkenalkan Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau), sekali gus menjadikannya negeri pertama di Malaysia yang menangani isu perubahan iklim secara komprehensif.
 
“Undang-undang ini memberi tumpuan kepada mengawal pelepasan gas rumah hijau, mempromosikan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon serta mencapai sasaran pelepasan sifar (pelepasan karbon sifar bersih) menjelang 2050.
 
“Ia mewajibkan perniagaan untuk melaporkan pelepasan karbon dan memberikan hukuman bagi yang tidak mematuhi perkara tersebut,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.
 
Datuk Dr Hazland menambah, kerajaan Sarawak merancang untuk melaksanakan pelbagai langkah termasuk mekanisme penentuan harga karbon, strategi peralihan tenaga, platform pengurusan karbon digital, cukai karbon, ekonomi hidrogen, metanasi, bahan api bio, kuasa angin darat (‘offshore wind’) dan teknologi tenaga cekap.
 
Jelas beliau, tindakan ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
 
Tambahnya lagi, dengan menggunakan sumber tenaga sedia ada, Sarawak bersedia untuk menerajui usaha penyahkarbonan di seluruh negara.
 
“Mengiktiraf kepentingan mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan hutan, Sarawak yang memiliki keluasan hutan terbesar di Malaysia sedang melabur dalam penyelesaian berasaskan alam seperti aktiviti penghutanan semula selain kawal selia yang ketat untuk industri-industri berkaitan termasuk minyak kelapa sawit.
 
“Selain itu, Sarawak turut menerajui inovasi bahan api bio berasaskan alga sebagai alternatif mampan kepada bahan api fosil.
 
“Walaupun menghadapi cabaran dalam peralihan dari COP28 ke masa depan karbon sifar bersih, Sarawak dan Asia Tenggara tetap teguh dalam komitmen mereka.
 
“Dengan kekayaan sumber semula jadi, ekonomi yang dinamik dan penduduk yang muda, rantau ini mempunyai potensi untuk membina masa depan yang lebih bersih, hijau dan tahan lasak,” ujarnya.
 
 
Justeru katanya, usaha tersebut akan memerlukan hasrat politik yang teguh, pelaburan yang berterusan, sokongan pemindahan teknologi dan peralihan yang adil untuk komuniti yang terkesan.
 
Beliau turut menyeru komuniti global, khususnya negara-negara maju untuk memberikan kerjasama termasuk melalui pembiayaan iklim, peningkatan kapasiti dan inisiatif perkongsian pengetahuan. -EDISI UKAS