MIRI: Pelaksanaan fasa pertama projek Jalan Penghubung Sabah dan Sarawak (SSLR) kini telah mencapai 35 peratus status pembinaannya.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, kerja-kerja pembinaan projek ini telah mendahului sebanyak 5 peratus berbanding perancangan awal sebanyak 30.32 peratus.
Menurutnya, projek yang mengikut jadual tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2026.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media semasa melakukan lawatan di Sungai Tujuh Kuala Baram pada Isnin.
Pembinaan projek ini adalah bertujuan menyediakan jaringan jalan raya yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei Darussalam dab diluluskan secara berfasa oleh Kerajaan Persekutuan pada 2021 dan dijangka siap pada suku ketiga tahun 2026.
Sementara itu, Datuk Ir Aidel menambah, apabila siapnya projek ini nanti, ia akan meluaskan jaringan jalan persekutuan ke kawasan pedalaman sekaligus meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk
Bagi projek SSLR Fasa 2 pula, Datuk Ir Aidel memberitahu, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek ini telah diserahkan oleh Menteri Kerja Raya kepada kontraktor utama (Maltimur Aktif Unggul JV) pada 26 Mac 2024 di Kuala Lumpur dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah dilantik sebagai Pengarah Projek.
Jelasnya, kerja-kerja awalan di tapak telah bermula dan projek ini dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
"Projek ini akan melibatkan pembinaan jajaran baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer yang akan menghubungkan Lawas ke Limbang dan seterusnya ke pekan Mulu tanpa melalui Brunei Darussalam dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM7.2 bilion," jelasnya.
Mengulas mengenai Projek Lebuhraya Trans Borneo, Datuk Ir Aidel memberitahu, projek ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan secara dasarnya dibahagikan kepada tiga pakej melibatkan kos RM2.3 bilion.
“Tiga pakej akan melibatkan laluan dari Kuala Baram ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri sepanjang 4.9 kilometer (km), dari ICQS Tedungan ke ICQS Pandaruan, Limbang iaitu sepanjang 54.6 km dan dari pekan Lawas ke ICQS Merapok, Lawas iaitu sepanjang 33.7km,” ujarnya.
Projek Lebuhraya Trans Borneo merupakan sebuah projek menaik taraf jalan sedia ada dari Miri ke Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui Brunei Darussalam sepanjang 93.25 km. -EDISI UKAS