BETONG: Ekspo Pendidikan merupakan satu usaha yang baik untuk memastikan anak-anak berupaya mendapat maklumat terkini mengenai peluang-peluang pendidikan yang ada di Sarawak.
Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu berkata, penubuhan institusi pengajian tinggi di Sarawak khususnya yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak merupakan satu usaha untuk memberi peluang kepada anak-anak melanjutkan pelajaran mereka baik dalam bidang akademik mahupun kemahiran.
"Apabila kita bercakap mengenai pendidikan, tentu saja ianya telah menjadi suatu keperluan.
"Melalui pendidikan, seseorang itu mampu mengukur potensi diri yang dimilikinya dan kerjaya yang harus diimpikan dan sesuai untuk menghadapi masa depan, seperti dunia pekerjaan dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Betong bertempat di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong disini pada Sabtu.
Jelas beliau, Kerajaan Sarawak telah berupaya menarik banyak pelaburan ke Sarawak, kerana telah berjaya meneroka ekonomi baharu yang mampu meningkatkan ekonomi dan hasil Sarawak.
Oleh itu, golongan muda memainkan peranan untuk berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran masing-masing dan meningkatkan daya saing merebut peluang daripada ekonomi terbuka ini.
Dengan penekanan di bawah sektor tenaga hijau yang sedang diusahakan oleh kerajaan misalnya, golongan belia harus tangkas untuk merebut peluang sedia ada agar mereka layak untuk mengendalikan peluang pekerjaan disediakan nanti.
Turut hadir, Pegawai Daerah Betong.Alfred Geling Ason serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS