SARIKEI: Sarawak merupakan salah satu contoh terbaik dalam mempelopori kepelbagaian bidang pendidikan kepada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato' Sri Huang Tiong Sii, penubuhan institusi pengajian tinggi di bawah inisiatif Kerajaan Sarawak merupakan satu usaha bagi menyediakan peluang kepada pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran di universiti milik Kerajaan Sarawak.
"Ekspo Pendidikan ini merupakan satu usaha yang baik untuk memastikan pelajar berupaya mendapat maklumat terkini mengenai peluang pendidikan yang ada.
"Dengan mengambil peluang ini, pelajar-pelajar boleh mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan yang lebih baik mengenai institusi pendidikan yang ingin diikuti," ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Ekspo Pendidikan Daerah Sarikei pada Sabtu.
Harapannya agar ekspo ini digunakan sebaik mungkin oleh para pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang pendidikan dan merealisasikan impian Sarawak menjadi wilayah yang maju menjelang 2030.
Dato' Sri Huang turut mengucapkan tahniah kepada 112 orang pelajar cemerlang daripada Daerah Sarikei yang telah berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Hadir sama Residen Bahagian Sarikei Micheal Ronnie Langgong, wakil Yayasan Sarawak Yantiska Mahmud, Pegawai Daerah Sarikei Louis Yeo Soon Guan, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung, para pelajar serta ibu bapa. -EDISI UKAS