MURUM: Dalam membina kerjaya yang sesuai, pendedahan mengenai peluang yang ada khususnya mengenai institusi pendidikan yang ada di Sarawak menjadi teras penting kepada para pelajar.
Timbalan Menteri Digital Malaysia Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, hal ini disebabkan dengan adanya arah tuju yang jelas melalui sesi perbincangan dan bimbingan bersama wakil-wakil institusi yang sanggup berkorban masa dalam Ekspo Pendidikan Sarawak.
Menurutnya, ia adalah satu peluang yang harus digunakan dengan sebaik mungkin oleh pelajar.
Tambah Datuk Wilson Ugak, inisiatif Yayasan Sarawak menganjurkan program promosi pendidikan di semua daerah di Sarawak merupakan satu usaha untuk memastikan semua pelajar khususnya lepasan SPM dan STPM mendapat maklumat terkini mengenai peluang pendidikan yang ada di Sarawak.
"Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telahpun menubuhkan institusi pengajian tinggi dan institusi kemahirannya di Sarawak.
"Penubuhannya merupakan satu usaha agar anak-anak Sarawak berupaya untuk melanjutkan pelajaran masing-masing baik pembelajaran bercorak akademik mahupun kemahiran," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Belaga Tahun 2024 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaa Bakun, Sungai Asap, Belaga pada Sabtu.
Melalui penganjuran ekspo ini katanya, beliau ingin menyeru agar para pelajar menggunakan peluang ini untuk mendapat bimbingan dan nasihat daripada wakil-wakil institusi yang ada.
Ini kerana maklumat berkenaan akan mampu digunakan untuk pelajar membuat perancangan untuk masa depan masing-masing, ujar beliau.
Dalam masa yang sama ia juga membolehkan pelajar membuat sasaran untuk meningkatkan pencapaian akademik supaya mampu mengambil kursus yang menjadi sasaran atau idaman.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon, Pegawai Yayasan Sarawak Veronica Nuie Junan, Pegawai Tadbir Menguasa, Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap Adella Talu, Pengetua SMK Bakun Usat Ebut,
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Jimbai Bala Pemanca Tony Kulleh dan Pemanca Umek Jeno. -EDISI UKAS