KUCHING: Pengenalan kepada kursus baharu dalam bidang aeroangkasa akan memacu Sarawak ke arah negeri berteknologi tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak melalui Kolej Universiti i-CATS baru-baru ini telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membuka Fakulti Aeroangkasa.
“Semalam saya mengumumkan i-Cats akan menawarkan program aeroangkasa dengan ia sudah pun menerima kelulusan dari Kementerian Pendidikan Tinggi, ia merupakan kursus berkaitan dengan teknologi melibatkan cip dan komponen kapal terbang.
“Ini adalah sesuatu yang baharu, kita (Kerajaan Sarawak) mahu semua anak Sarawak belajar dalam bidang baharu ini untuk membangunkan Sarawak sebagai negeri berteknologi tinggi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Persatuan Klan Sim Teochew Sarawak kali ke-40 di sini pada Ahad.
Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, pendidikan merupakan kaedah terbaik untuk rakyat di negeri ini keluar dari belenggu kemiskinan.
Justeru, beliau menyeru kepada anak-anak Sarawak untuk mengambil serius akan perkara itu dengan memanfaatkan peluang dan ruang yang disediakan pihak kerajaan.
“Kalau kita mahu keluar dari kemiskinan, jawapannya tidak lain ialah menerusi pendidikan.
“Apabila anak kita pandai, mereka kemudian akan menyumbang kepada masyarakat,” jelas beliau lagi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian dan Presiden Persatuan Klan Sim Teochew Sarawak, Sim Moh Khian. -EDISI UKAS