MIRI: Golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menambah pendapatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, PMKS ini mewakili 1.17 juta (97.4 peratus) daripada keseluruhan 1.20 juta komuniti perniagaan di Malaysia di mana 83,708 PMKS adalah dari Sarawak.
“Oleh itu, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada golongan PMKS tempatan yang merupakan tunjang belakang kepada landskap pembangunan ekonomi melalui pelbagai inisiatif dan program seperti Program Showcase Usahawan Sarawak pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Showcase Usahawan Sarawak (SUS) @ Miri 2024 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, Showcase Usahawan Sarawak platform untuk mengetengahkan pelbagai produk daripada 51 usahawan terbaik yang mewakili Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) dan Agensi di Sarawak.
Tambahnya, program tersebut juga mengetengahkan produk-produk tempatan yang diiktiraf dari aspek pensijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Sarawak
“Saya percaya pengiktirafan halal ini mampu mengangkat produk tempatan ke pasaran global kerana penggunaan produk-produk halal adalah terjamin selamat serta bersih,” jelasnya.
Selain itu katanya, program Showcase Usahawan Sarawak ini juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti ‘business pitching’ dan ‘business matching’ melalui penyertaan syarikat anchor seperti MyGalore, Borneo Outlet, MYDIN, AEON dan Alfamy dengan sasaran potensi jualan sebanyak RM3 juta. -EDISI UKAS