KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) mengambil peluang daripada penganjuran Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK) 2024 anjuran Invest Selangor untuk meluaskan rangkaian pelaburan khususnya kepada pelabur khas yang berminat untuk melabur di wilayah pembangunan ekonomi iaitu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Ketua Reputasi Korporat RECODA, Syeliza Abang Basri berkata, pihaknya berperanan melengkapkan ekosistem yang diperlukan pelabur industri berat menerusi pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di wilayah SCORE, berteraskan kepada bidang biomas, bioteknologi, teknologi hijau dan ekonomi digital.
Menurutnya, ini selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang mana badan berkanun Sarawak itu menjadi pemangkin kepada beberapa pemboleh ubah seperti infrastruktur asas, pengangkutan, utiliti dan tenaga boleh diperbaharui.
"Kami mempromosi apa yang kerajaan Sarawak tawarkan menerusi RECODA dengan memberikan maklumat yang jelas kepada pelabur dan pihak berkepentingan mengenai projek pembangunan infrastruktur, termasuk aspek jaringan jalan perhubungan dan perkara yang kami bangunkan seperti kemudahan ketersambungan dan kebolehcapaian, untuk melengkapkan ekosistem yang diperlukan.
"Ini kerana pelabur cenderung memilih lokasi yang mempunyai ketersambungan dan kebolehcapaian yang mencukupi. Jadi, inilah yang kami sediakan untuk menarik pelabur untuk melabur di SCORE,"katanya ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di ekspo tersebut pada Sabtu.
Tambah Syeliza, SPARK 2024 juga secara tidak langsung menjadi platform untuk menarik pelabur dan pengilang yang tepat bagi Taman Perindustrian Samalaju (SIP) yang berpotensi memberikan impak positif kepada industri hiliran dan penggiat ekonomi domestik.
Katanya, SIP kini hanya tinggal 332 ekar tanah yang masih tersedia untuk pelaburan, yang mana jelas menunjukkan populariti dan permintaan yang tinggi terhadap tapak perindustrian tersebut.
Turut dikongsikan adalah mengenai beberapa projek mega seperti Lebuh Raya Pantai Utara (NCH), Pelabuhan Air Dalam Lawas Baharu, Lapangan Terbang Baharu Lawas, Pelan Induk Stesen Pertanian Tanah Tinggi Bersepadu (IHAS) dan Pusat Pemprosesan & Pembungkusan Koleksi (CPPC) di Spaoh, Betong dan Sungai Baji, Sarikei.
SPARK 2024 ditampilkan menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) sesi pertama yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 Julai lepas, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).-Edisi UKAS