450 Pelajar Sekolah DUN Nangka Terlibat Dalam Program STEM50

Disiarkan pada 28 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Seramai 450 orang pelajar dari tiga sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka telah terlibat dalam Program STEM50 yang bermula pada Jun lepas.
 
Tiga buah sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama, SMK Kampung Nangka dan SMK Jalan Oya.
 
Program STEM50 yang melibatkan seramai 150 pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 ini adalah satu usaha bagi memupuk menarik minat lebih ramai pelajar memasuki aliran Sains apabila melangkah ke Tingkatan 4 nanti.
 
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata program STEM50 ini adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan bilangan pelajar Sains atau STEM.
 
"Kita masih berusaha untuk meningkatkan STEM. Sudah tentu ada peningkatan, tetapi kita tidak boleh berhenti di situ. Kita perlu terus memperbaiki.
 
"Untuk Sarawak, seperti yang kita tahu bahawa dasar kerajaan untuk teknologi tinggi, pendapatan tinggi, kita memerlukan ramai pelajar dalam aliran Sains. Jadi, ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita di DUN Nangka, ujarnya."
 
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas sesi Townhall STEM50 di Universiti Teknologi Sarawak, Sibu pada Sabtu.
 
Dalam pada itu, Datuk Dr Annuar memberitahu kesedaran dan kerjasama ibu bapa juga merupakan faktor penting dalam kejayaan program ini.
 
Jelasnya, dengan usaha berterusan, diharapkan lebih ramai pelajar yang terlibat dalam bidang sains untuk masa depan yang lebih cerah.
 
"Sebab itu tahun ini kita ubah sedikit. Kita tidak mahu mereka berada di sekolah sahaja. Kita mahu ibu bapa memainkan peranan dengan menghantar anak-anak mereka ke universiti, ke Pustaka.
 
"Kita tidak mahu hanya pihak kita, guru-guru yang memainkan peranan, tetapi yang lebih penting adalah ibu bapa kerana mereka yang akan menggalakkan anak-anak mereka untuk mengambil STEM.
 
Hadir sama Pengerusi, Sekretariat Pendidikan Stem & Kemahiran Profesional (StemPro) Dun Nangka, Abang Fairul Syarmil Abang Mohamad.-EDISI UKAS