SEBUYAU: Aktiviti solidariti komuniti mampu menerapkan budaya kepedulian dalam jiwa masyarakat agar integrasi dan kesejahteraan sosial terus terjalin antara satu sama lain.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, aktiviti tersebut juga akan memantapkan budaya kepedulian dalam masyarakat agar integrasi dan kesejahteraan sosial dalam kalangan komuniti terus terjalin.
“Melalui aktiviti solidariti komuniti, perkongsian bersama agensi pembangunan sosial dan sukan solidariti komuniti yang telah dilaksanakan, saya percaya para peserta sudah dapat menghayati nilai dan kepentingan hubungan baik agar hubungan berkualiti dapat ditingkatkan tanpa mengira jantina, peringkat umur, etnik dan agama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Randau Solidariti Komuniti di Kampung Sungai Nyamok di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berharap program sebegini akan pasti membuahkan hasil selagi dilaksanakan dengan penuh komitmen dan secara konsisten.
“Semoga program ini telah mencetus kesedaran dan penghayatan kita tentang nilai perpaduan, pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Difahamkan, antara pengisian program ialah ceramah oleh Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Samarahan, ceramah oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Bahagian Samarahan.
Dalam majlis sama, beliau juga merasmikan jambatan simen Kampung Sungai Nyamok di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) yang berjumlah RM436,415.75 dan telah disiapkan pada tahun 2023.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat dan Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang. -EDISI UKAS