Ekspo Pendidikan Daerah Lingga Dianjurkan Untuk Kali Pertama

Disiarkan pada 28 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS



LINGGA: Ekspo Pendidikan Daerah Lingga dianjurkan untuk kali pertama selepas Daerah Lingga berstatus daerah penuh.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, Ekspo Pendidikan itu bertujuan menyebar maklumat mengenai peluang pendidikan yang ada di Sarawak khususnya institusi di bawah kelolaan Kerajaan Sarawak dan Yayasan Sarawak.

 

“Ianya amat penting supaya anak-anak kita yang berada di luar bandar khususnya tidak terlepas pandang dan sentiasa mendapat info terkini mengenai perkembangan pendidikan di Sarawak,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Daerah Lingga 2024 di sini pada Sabtu.

 

Dalam pada itu, Dayang Noorazah menyeru kepada anak-anak Sarawak khususnya di Daerah Lingga untuk menanamkan semangat tinggi untuk menimba ilmu di Sarawak.

 

“Kita telah mempunyai institusi yang bertaraf dunia dan melalui institusi ini, ianya menyediakan peluang kepada anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

 

“Oleh itu, ekspo ini saya lihat mampu memainkan peranannya ke arah meningkatkan usaha kita untuk menyedarkan anak-anak khususnya di kawasan-kawasan luar bandar mengenai peluang pendidikan yang ada khususnya di institusi di bawah Yayasan Sarawak,” ujarnya. 

 

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lingga Frank Lani, wakil Pengarah Yayasan Sarawak Muliza Azani Saruji, Pengetua SMK Lingga Mesra Beji dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman Mohammad Azri Bunyok. -EDISI UKAS