SIMANGGANG: Golongan belia diseru meningkatkan ilmu dan kemahiran untuk mengambil peluang daripada ekonomi Sarawak yang sedang berkembang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, golongan belia harus tangkas untuk merebut peluang sedia ada agar mendapatkan peluang pekerjaan yang disediakan di bawah sektor tenaga hijau yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak akan menyaksikan kemakmuran ekonomi yang dipacu oleh data dan inovasi. Pengenalan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) PCDS 2030 telah meletakkan Sarawak dengan jelas langkah serta tindakan yang perlu diambil untuk mencapai pembangunan baharu itu.
“Kita sedang memacu pembangunan infrastruktur kita untuk meningkatkan taraf hidup, mengembangkan ekonomi bagi menyediakan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan serta melatih anak-anak Sarawak untuk menjadi lebih mahir dan meningkatkan tahap pendapatan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Daerah Sri Aman 2024 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Francis Harden berkata, masa depan Sarawak amat cerah kerana mempunyai banyak sumber yang boleh dimanfaatkan untuk menjadikan negeri ini sebuah kuasa ekonomi di Malaysia dan di rantau ini pada masa hadapan.
“Ramai pelabur ingin menanam modal di Sarawak kerana negeri ini mempunyai kelebihan dari segi kestabilan politik dan perpaduan rakyat berbilang bangsa, keturunan dan agama atas dasar toleransi yang sangat tinggi serta saling hormat menghormati antara satu sama lain.
“Dalam aspek pendidikan, saya ingin menyeru anak-anak sekalian agar terus menanamkan semangat tinggi untuk menimba ilmu sebab di Sarawak, kita sudah mempunyai institusi pengajian tinggi yang bertaraf dunia,” ujarnya. -EDISI UKAS