BAU: Pusat Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS) di Kampung Apar di sini bakal menjadi venue Pesta Kebudayaan berskala besar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyatakan sokongan penuh beliau untuk menjadikan REDEEMS sebagai pusat Pesta Kebudayaan pada masa hadapan.
“REDEEMS akan menjadi Pusat Kebudayaan di Bau memandangkan ia dilengkapi dengan pentas yang besar, rumah-rumah panjang jadi saya menyokong cadangan untuk mengadakan Pesta Kebudayaan di kawasan REDEEMS.
“Saya akan mengarahkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk merealisasikan cadangan ini,” jelas beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Karnival Gawai REDEEMS Ke-16 yang berlangsung di sini pada malam Sabtu.
Sehubungan dengan itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengarahkan beberapa agensi termasuk Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk meningkatkan infrastruktur di REDEEMS.
Jelas beliau, uni termasuk meluluskan dana untuk memasang pendingin hawa yang akan ditender pada November depan dan meluluskan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) lebih RM1 juta bagi projek membina tempat letak kereta yang lebih kondusif di REDEEMS.
"Dana tersebut akan disalurkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Presiden REDEEMS Datuk Peter Nansian Ngusie, Pegawai Daerah Bau Constantine Gerald David Jonas serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS