Pembangunan modal insan Sarawak perlu seiring agenda pembangunan
Disiarkan pada 27 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS

SEBUYAU: Pembangunan modal insan memainkan peranan penting dalam menjayakan aspirasi Sarawak menuju wilayah maju menjelang tahun 2030.
Sehubungan itu, generasi muda khususnya para pelajar harus didedahkan dengan kepentingan pendidikan tinggi dalam memastikan golongan itu dipersiapkan dengan keperluan pasaran kerja.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini penting agar pembangunan modan insan bergerak seiring dengan kesinambungan agenda pembangunan Sarawak.
“Anak-anak kita pada hari ini memerlukan dorongan dan inisiatif untuk menggalakkan mereka untuk melangkah lebih berjaya pada masa akan datang tidak kira kecil atau besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ekspo Pendidikan Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau di sini pada Sabtu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, usaha menggalakkan para pelajar terlibat dan bergiat secara aktif dalam program kokurikulum atau akademik bermula dari peringkat sekolah.
Atas sebab itu juga, galakan diberikan menerusi peruntukan yang disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu sekolah dan pelajar.
Justeru katanya, Kerajaan Sarawak kini sedang memacu pembangunan infrastruktur di Sarawak untuk meningkatkan taraf hidup, mengembangkan ekonomi.
Ini katanya bagi menyediakan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan serta melatih anak-anak Sarawak untuk menjadi lebih mahir dan meningkatkan tahap pendapatan.
Beliau turut menyeru anak-anak Sarawak untuk terus menanamkan semangat tinggi untuk menimba ilmu terutamanya ketika ini Sarawak memiliki institusi pengajian tinggi yang bertaraf dunia.
Dengan menyediakan peluang kepada anak-anak meneruskan pengajian masing-masing termasuk pendidikan percuma pada tahun 2026, Dato Sri Julaihi berkata ia harus dimanfaatkan oleh setiap anak Sarawak.
Pada majlis tersebut, Dato Sri Julaihi turut menyampaikan bantuan insentif pendidikan seramai 76 orang pelajar terdiri daripada tahap pendidikan iaitu 41 penerima tahap sijil, 15 tahap diploma, 13 penerima tahap ijazah saujana muda dan tujuh penerima anugerah kecemerlangan kokurikulum dengan jumlah keseluruhan RM20,600.
Turut hadir, Penolong Pengarah Yayasan Sarawak Ismallia Bohari, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Abu Talib Ghazali, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pengetua SMK Sebuyau Awg Abas Awg Lawi serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS