Hayati Makna Aidilfitri Demi Kepentingan Manusia Sejagat

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Rakyat di negeri ini diajak untuk memahami dan menghayati makna Aidilfitri demi kepentingan manusia sejagat dalam menjalani kehidupannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS), Datuk Abdullah Saidol mengajak umat Islam di negeri ini tentang erti kemeriahan Aidilfitri khususnya bagi golongan kurang bernasib baik.

"Suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kembali meriah khususnya mereka yang berkesempatan merayakannya di kampung masing-masing bersama keluarga, sanak saudara, rakan taulan, sahabat handai dan penduduk kampung.

"Justeru, saya ingin mengajak orang ramai untuk menyelami makna Aidilfitri khususnya bagi golongan kurang bernasib baik dan serba kekurangan atau mereka yang kini berada di wilayah berperang menjadi korban," katanya dalam perutusan  Hari Raya Aidilfitri 2024 pada Selasa.

Dalam pada itu, Datuk Abdullah mengajak semua atas dasar kemanusiaan dan kesyukuran untuk bersama-sama berdoa dan berharap keamanan dan ketenteraman dilimpahkan kepada mereka yang memerlukan.

“Semoga keamanan dan kedamaian dilimpahkan kepada mereka serta dilimpahkan kasih sayang dan keselamatan kepada seluruh warga dunia yang terbeban dengan kehidupan yang mencengkam.

“Saya mendoakan agar setiap perjalanan menziarahi selamat, diiberikan kesihatan yang terbaik, kekuatan jiwa dan minda untuk terus berkhidmat dan berbakti,” katanya lagi.-EDISI UKAS