Rakyat Perlu Kekal Bersatu Jayakan PCDS 2030

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Rakyat di negeri ini perlu kekal bersatu padu selaras dalam usaha menjayakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, sasaran utama PCDS 2030 yang berbaki enam tahun perlu diutamakan terutamanya mencapai keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030.

“Kita hanya mempunyai enam tahun lagi untuk mencapai RM282 bilion KDNK di mana kini kita perlu mencapai sebanyak RM171 bilion sebelum tahun 2030.

“Dengan pencapaian ini bukan sahaja Sarawak akan berpendapatan tinggi tetapi setiap isi rumah juga berpendapatan tinggi pada masa itu.

“Kita hanya boleh mencapainya jika kita kekal bersatu kerana tiada siapa boleh menghalang kita untuk mencapai matlamat kemakmuran, keterangkuman serta kelestarian alam sekitar menjelang 2030,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri di sini pada Isnin.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menambah, Sarawak kini dalam peringkat penting iaitu 'pembinaan negara' di mana kerajaan negeri mula menggerakkan pertumbuhan ekonomi ke arah yang pembangunan yang lebih besar.

Jelasnya, perkara ini dapat dilihat dengan kerajaan Sarawak komited memberikan pendidikan tinggi secara percuma di universiti milik kerajaan Sarawak menjelang 2026 termasuk autonomi kesihatan dan pendidikan.

“Menjelang 2026, pendidikan tinggi percuma diberikan di semua universiti milik kerajaan Sarawak sendiri dan kita harap dapat memiliki autonomi pendidikan dan autonomi kesihatan daripada kerajaan persekutuan kerana kita mahu berbuat lebih banyak untuk rakyat Sarawak kita,” ujarnya.-EDISI UKAS