Majikan Digesa Perjuangkan Dasar Kesaksamaan Jantina

Posted on 27 Jul 2024
Source of News: UKAS

KUCHING: Para majikan terutamanya di Sarawak digesa untuk memperjuangkan dasar dan amalan inklusif yang mempromosikan kesaksamaan jantina.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penggubal dasar mesti menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang melindungi hak wanita di tempat kerja.

Menurutnya, sementara itu masyarakat mesti mencabar norma jantina yang ketinggalan zaman dan menyokong wanita dalam mengejar kerjaya dan kehidupan yang seimbang.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penangguhan Sesi Perkongsian “Empowering Women: Employers Championing Change” bersempena Sambutan Hari Wanita Sarawak 2024 di sini pada Jumaat.

Dato Sri Fatimah menambah, kesan kumulatif daripada cabaran ini menampakkan tekanan mental yang mendalam dan menyebabkan peningkatan tekanan dalam kalangan wanita bekerja.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak Sarawak Energy Berhad dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd atas usaha mereka untuk membawa perubahan dalam memperkasakan wanita di organisasi masing-masing.

Dato Sri Fatimah turut berharap agar setiap wanita boleh berkembang dengan jayanya, di mana bakat mereka diiktiraf dan sumbangannya dinilai dengan adil.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS