NREB Barisan Hadapan Sarawak, Jaga & Urus Alam Sekitar

Posted on 27 Jul 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bertindak sebagai barisan hadapan dalam usaha menjaga dan menguruskan alam sekitar di Sarawak. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, semenjak penubuhannya pada 1 Febuari 1994, NREB telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam mencerminkan komitmen Sarawak terhadap penjagaan alam sekitar dan pembangunan mampan di wilayah ini. 

Jelas beliau, komitmen ini jelas dibuktikan dengan pelbagai pencapaian baik di peringkat negeri dan antarabangsa menunjukkan usaha mereka diiktiraf oleh orang luar. 

“Salah satu pencapaian NREB ialah kejayaan pelaksanaan sistem Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang telah memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, dengan pertimbangan sewajarnya terhadap kesan alam sekitarnya. 

“Ini bukan sahaja telah melindungi ekosistem semula jadi kita tetapi juga telah memupuk budaya kemampanan dalam sektor perniagaan dan perindustrian kita,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam sempena ulang tahun ke-30 NREB yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat. 

Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, kejayaan NREB dalam memastikan alam sekitar di Sarawak sentiasa terjaga jelas dipamerkan apabila wilayah ini mampu mengekalkan kualiti alam sekitar yang baik dan tiada kejadian bencana alam sekitar yang besar walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan pembangunan pesat.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk mencapai keseimbangan antara keperluan pembangunan dan menjaga sumber asli, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat yang banyak. 

“Adalah penting bahawa pertumbuhan ekonomi kita tidak mengorbankan alam sekitar kita untuk memastikan kelestarian alam sekitar,” jelas beliau lagi. 

Dalam majlis yang sama, Premier Sarawak turut diberi penghormatan untuk menyampaikan Anugerah Pingat BAKTI kepada 13 kakitangan NREB yang menunjukkan prestasi cemerlang serta sijil penghargaan kepada tiga penerima terdiri daripada mantan Kontroler dan mantan Timbalan Kontroler NREB. 

Dalam pada itu, NREB turut melakar sejarah apabila mereka mendapat pengiktirafan daripada ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) kerana berjaya memperoleh rangkaian kelab persekitaran sekolah terbesar di Malaysia. 

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil dan Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Jack Liam. -EDISI UKAS