Keharmonian & Kedamaian Rahmat Bagi Sarawak

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Keharmonian dan kedamaian meskipun terdiri daripada kepelbagaian kaum di Sarawak merupakan rahmat yang tidak ternilai bagi negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penduduk di Bumi Kenyalang perlu terus mengekalkan mana-mana amalan dan tradisi yang menjurus kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Di bulan Syawal yang mulia, tradisi kunjung mengunjungi dan bermaaf- maafan haruslah kita kekalkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita. 

“Kita harus bersyukur kerana Sarawak dirahmati dengan nikmat keharmonian dan kedamaian, meskipun kita terdiri dari pelbagai agama dan kaum,” jelas beliau dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2024 pada Selasa. 

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan agar setiap lapisan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan budaya dan pemikiran ekstrim dari luar yang boleh menjatuhkan serta menggugat keamanan yang dikecapi sekarang.

Dalam kesempatan itu juga, Datuk Amar Awang Tengah menjemput orang ramai untuk sama-sama hadir dan memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediaman beliau di Lot 1937, Taman Klasik, 98850 Lawas pada Raya kedua dan ketiga bermula jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang. -EDISI UKAS