110 Kanak-Kanak DUN Sebuyau Terima Duit Raya

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Seramai 110 kanak-kanak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau mengukir senyuman riang apabila menerima duit raya daripada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.

Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh beliau dalam Program Ziarah Ramadan dan Tanggungjawab Sosial bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) di sini pada Isnin.

Dalam majlis itu juga, Dato Sri Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut menyantuni 70 golongan asnaf di kawasan sekitar Sebuyau.

Di samping itu, beliau turut menyampaikan bakul makanan sumbangan daripada SEB kepada penerima diiringi oleh Naib Presiden Kanan Khidmat Korporat SEB Siti Aisah Adenan. 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pengagihan sebanyak 200 pek bubur pedas dan kurma kepada penduduk setempat bagi juadah berbuka puasa.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunukasi Sarawak Syed Mohamad Fauzi Shahab, wakil Pegawai Daerah Sebuyau Ajis Ahmad, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau Asli Yahya dan barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Sebuyau. -EDISI UKAS