Dua Syarikat Turkiye Minat Luas Perniagaan Di Sarawak

Disiarkan pada 26 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS
 



KUCHING: Dua syarikat dari Turkiye berminat untuk meluaskan perniagaan mereka di Sarawak.
 
Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel berkata, salah sebuah daripada syarikat itu telah pun bertapak di Malaysia.
 
“Kami telah memperkenalkan dua syarikat penting dari Turki. Salah satunya sudah pun bertapak di Malaysia dan sebuah lagi syarikat juga sedang mencari dan meneroka beberapa cara untuk meningkatkan kerjasama.
 
“Sebenarnya secara peribadi wawasan Sarawak sangat mengujakan saya kerana terdapat aktiviti ekonomi yang besar dan visi Premier Sarawak sangat menarik,”katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Jumaat.
 
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, visi Sarawak dalam membangunkan sumber tenaga hijau, pembangunan teknologi tinggi termaju, infrastruktur, teknologi aeroangkasa dan pendigitalan menarik minat mereka untuk bekerjasama.
 
“Ini adalah beberapa bidang yang kami kuasai. Kami mempunyai syarikat yang bekerja ke arah ini, dan itulah sebabnya saya mengadakan perjumpaan ini untuk memperkenalkan dua buah syarikat itu kepada Premier Sarawak.
 
“Kami juga membincangkan keupayaan mereka dan bagaimana kami boleh mencapai sinergi antara syarikat kami dan keupayaan Sarawak juga,”katanya.
 
Hadir sama, Pengarah Kementerian Luar Negeri Pejabat Wilayah Sarawak, Fenny Nuli.-EDISI UKAS