Kerajaan Sarawak Imbang Pembangunan Bersama Kelestarian Alam Sekitar

Disiarkan pada 26 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak melaksana pelbagai inisiatif hijau bagi mengimbangi keperluan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar di negeri ini.

 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, Kerajaan Sarawak amat komited dalam melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 dan agenda global NetZero menjelang tahun 2050.

 

“Malahan pada tahun lepas, Sarawak telah mencapai status negatif karbon berdasarkan kajian oleh ‘UK Partnering For Accelerated Climate Transitions’ (UK-PACT).

 

“Pada tahun 2022, Kerajaan Sarawak telah membuat pindaan ke atas Kanun Tanah dan Ordinan Hutan bagi membolehkan aktiviti karbon serta Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dilaksanakan.

 

“Manakala pada tahun 2023, Kerajaan Sarawak telah meluluskan The Environment (Reduction of Greenhouse Gases Emission) Bill, 2023 bagi memperkukuhkan lagi kelestarian alam sekitar,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kuching pada Jumaat.

 

Menurutnya, Jabatan Hutan Sarawak telah mencadangkan sebanyak 31 kawasan sebagai Hutan Simpan Kekal (PFE) baharu yang dijangka melibatkan kawasan seluas 814,437 hektar.

 

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) berharap Kerajaan Persekutuan akan memberi lebih banyak lagi peruntukan melalui Ecological Fiscal Transfer (EFT) untuk aktiviti konservasi.

 

“Bagi kawasan hutan paya laut, setakat ini Sarawak  telah mewartakan seluas 12,950 hektar iaitu 19 peratus daripada keseluruhan keluasan hutan paya laut di negeri ini sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPF).

 

“Manakala 11,084 hektar atau 16 peratus daripada keseluruhan keluasan hutan paya laut di Sarawak telah diwartakan sebagai PFE,” ujarnya.  

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Alam dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo Kim, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS