MIRI: Kontinjen Sarawak mensasarkan pingat dalam acara lawan pedang di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Ia dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan semasa perjumpaan bersama skuad lawan pedang Sarawak di Permy Mall Miri, baru-baru ini.
Semasa sesi perjumpaan tersebut, beliau memberikan kata-kata semangat bagi menaikkan motivasi semua atlet yang akan bertanding di temasya SUKMA ke-21 nanti.
Beliau memberitahu, Sarawak sentiasa bersedia dan yakin lawan pedang pun antara sukan yang akan memberikan banyak pingat.
"Sudah 13 tahun acara lawan pedang tidak dipertandingkan dalam SUKMA, harapan kita mensasarkan pingat untuk acara ini," ujarnya.
Menurut Awang Putrayusrie lagi, dari segi persiapan di bawah pihak SSC dan MSNS, semua persediaan sama ada dari segi fasililti mahupun atlet sedang diurus dengan baik.
Terdahulu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan para atlet silat, pelayaran, karate, ragbi, lawan pedang di samping turut mengadakan lawatan tapak venue acara sukan serta perkampungan atlet SUKMA XXI bagi kluster Miri iaitu Stadium Miri, Stadium Bandaraya, IKBN dan Kampung Sukan sepanjang lawatan kerja dua hari di Miri.
Hadir sama Ketua Persediaan Kontinjen SUKMA Sarawak Abdul Muktalib Mohamad, Pegawai Pembangunan Sukan Lawan Pedang Esther Samuel, Presiden Persatuan Sukan Lawan Pedang Negeri Sarawak Affandi Ahmad dan Ketua Jurulatih Hasnul Hadi Shawal Bakhtiar. -EDISI UKAS