KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) mengetengahkan Taman Perindustrian Samalaju dalam Ekspo Taman Perindustrian Pelaburan Selangor (SPARK) 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni menekankan peranan SIP Sarawak dalam menarik pelabur global dengan menyediakan kesalinghubungan melalui pelaksanaan infrastruktur asas dan ekosistem perindustrian yang kondusif.
“RECODA sebelum ini menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di bawah kategori berbeza.
“Tahun ini, penyertaan RECODA menyasarkan pelabur yang tepat untuk memilih SIP sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Datu Ismawi menambah, penyertaan RECODA dalam SPARK 2024 menggariskan komitmen untuk mempamerkan potensi luas Taman Perindustrian Samalaju.
“Hab perindustrian ini adalah penting kepada landskap ekonomi Sarawak yang menawarkan peluang besar untuk para pelabur dan pengilang.
“Kita berada di sini untuk menjalin perkongsian baharu dan menunjukkan kelebihan strategik yang dipersembahkan oleh Taman Perindustrian Samalaju kepada komuniti pelaburan global,” ujarnya.
Datu Ismawi menambah, selain Taman Perindustrian Samalaju, RECODA turut memberi tumpuan kepada projek mega seperti Lebuhraya Pantai Utara (NCH), Pelabuhan Air Dalam Lawas Baharu, Lapangan Terbang Baharu Lawas, Pelan Induk Stesen Pertanian Tanah Tinggi Bersepadu (IHAS) dan Projek Pusat Pemprosesan dan Pembungkusan Koleksi (CPPC) di Spaoh, Betong dan Sungai Baji, Sarikei.
Beliau juga mempromosikan Projek Pembangunan Sempadan yang merangkumi akses jalan ke Long Banga ke Bario dan dari Bario ke Ba'kelalan serta memberitahu bahawa pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) berdekatan bakal membuka perdagangan silang antara Sarawak dan Indonesia melalui Nusantara.
Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu berdiri sebagai hab perindustrian utama di Sarawak, direka untuk menarik industri berat dan intensif tenaga.
Ia menawarkan sumber kuasa daripada tenaga boleh diperbaharui yang dijana oleh Empangan Bakun, yang terletak di wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Sejak penubuhannya di bawah SCORE pada tahun 2008, Taman Perindustrian Samalaju telah menarik pelaburan swasta yang ketara, dengan jumlah pelaburan diluluskan berjumlah RM56.67 bilion dan menempatkan sebanyak 14 pelabur, termasuk Wenan Steel (M) Sdn Bhd, OCIKumho Sdn Bhd dan LONGi Malaysia yang kesemuanya sedang menjalani pembinaan tapak.
Panel pameran RECODA termasuk gambar produk sosio-ekonomi potensi tiga agensi pembangunan wilayah seperti madu kelulut di Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), kopi di Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Songket dan Penternakan Sangkar Ikan di Agensi Pembangunan Wilaya Utara (NRDA).
Semasa SPARK 2024, RECODA turut mengetengahkan program sosio-ekonominya seperti Pelan Pembangunan Sosio-Ekonomi (SEDP) 2022-2026, COMMUNITY@SCORE dan EMPLOY@SCORE yang bertujuan meningkatkan penjanaan pendapatan dan mata pencarian masyarakat miskin dalam SCORE dan inisiatif Kerajaan Sarawak seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat dan Basmi Miskin Tegar.-EDISI UKAS