Penyertaan ‘Silabur Ultra Trail’ Kali Ini Lebih Hangat

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Penganjuran ‘Silabur Ultra Trail’ pada kali ini mendapat sambutan yang lebih hangat berbanding tahun 2023.

Penganjuran yang julung kalinya pada tahun 2023 menyaksikan penyertaan sebanyak 389 dari 10 buah negara, manakala pada tahun ini penyertaan setakat ini adalah sebanyak 518 peserta daripada 20 buah negara.

Pengurus Alpha Sports Event, Josh Tan berkata antara negara yang telah mengesahkan penyertaannya adalah Amerika Syarikat, Canada, British, Singapura, Brunei Darussalam, Ireland, Sweden, Indonesia, Filipina, Perancis, Jepun, India, Thailand, Portugal, Australia, China, Hong Kong, Mexico, Switzerland dan Malaysia sendiri. 

Beliau berkata demikian dalam satu sesi sidang media yang berlangsung di sini pada Isnin.

Acara kali ini akan menampilkan warisan sosial dan budaya Malaysia yang unik di mana peserta akan bertemu dan melihat  sendiri penduduk semasa larian mereka di samping diiringi dengan flora dan fauna di kawasan luar bandar.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw dan Wee Chung Yee. -EDISI UKAS