Kempen Kebersihan Anjuran DBKU Pupuk Rasa Tanggungjawab Terhadap Warga Kota

Disiarkan pada 24 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS








KUCHING: Kempen kebersihan anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diyakini dapat memupuk rasa tanggungjawab terhadap warga kota.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, penglibatan komuniti dalam menjaga kebersihan warga kota di Kuching diharap dapat meningkatkan tahap kebersihan persekitaran.

"Dengan adanya kempen ini kita dapat membentuk kehidupan masyarakat yang begitu prihatin dengan kebersihan terutamanya warga kota Kuching khasnya di kawasan Kuching Utara.

"Pada masa sama DBKU mengajak warga kota mengambil bahagian dan hendak menjadikan bahawa amalan kebersihan ini menjadi amalan harian amalan rutin warga kota DBKU," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan 'Plogging Walk & Clean Waterway Campaign' sempena Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching 2024 di pekarangan tempat letak kereta, Jalan Haji Taha, di sini pada Rabu.

Makluman program 'Plogging Walk' pada hari tersebut adalah yang ke-3 diadakan selepas program sama di Taman Won dan Kampung Semariang Batu pada minggu lalu.

Manakala, objektif kempen ini dilaksanakan adalah untuk mewujudkan kesedaran dan menimbulkan keinginan sama-sama memelihara dan mencintai sungai dan memperkenalkan langkah dan amalan yang mengekalkan keindahan semulajadi sungai.

Justeru, inisiatif utama dalam memastikan kebersihan sungai secara khusus dan kebersihan alam sekitar secara amnya adalah dengan memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara sungai.

Hadir sama Datuk Bandaraya Kuching Utara Hilmy Othman, Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Samat Gany serta Ahli Dewan DBKU Dato Grunsin Ayom. -EDISI UKAS