Dua Syarikat Tenaga China Mahu Labur USD 10 Bilion Dalam Sumber Tenaga Hijau Sarawak

Disiarkan pada 24 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS









KUCHING: Dua syarikat tenaga dari China telah menyatakan hasrat untuk meletakkkan pelaburan sebanyak USD 10 bilion dalam pembangunan sumber tenaga hijau di Sarawak.

Pengarah Shanghai Electric Malaysia, Zhang Xiaohui berkata, syarikatnya dan China Three Gorges International Limited telah mula bertapak di Sarawak sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, pengalaman dan kejayaan dalam bekerjasama dengan syarikat di Sarawak telah memberi keyakinan untuk mereka melabur lebih lagi.

“Pada ketika ini kami percaya bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, negeri ini akan menjadi hab tenaga hijau jadi kami ingin melanjutkan sokongan.

"Jadi kami dari China Three Gorges dan Shanghai Electric mahu mengambil bahagian dalam pembangunan tenaga hijau ini dan kami merancang untuk melabur lebih USD 10 bilion di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menerima kunjungan hormat daripada Mubadala Energy yang diketuai Presidennya, Nr Khalfan Al Mansoori dan Ketua Perhubungan Luar & Komunikasi Mubadala Energy, Varian Ignatius.

Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Presiden Shanghai Electric Power T&D (M) Sdn. Bhd, Shao Jian Ming, Ketua Pegawai Eksekutif China Three Gorges International Limited, Chen Hui, Naib Presiden Shanghai Electric Power T&D (M) Sdn. Bhd, Yang Xing Hai, dan Pengerusi Shanghai Electric Malaysia, Chen Ping.EDISI UKAS