208 Pegawai & Anggota Polis IPD Kuching Bertugas Sempena Aidilfitri

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

 

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menempatkan seramai 208 pegawai dan anggota polis bertugas di lokasi tumpuan orang ramai bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba. 

 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, daripada jumlah itu, 186 pegawai dan anggota tugas am dan 22 pegawai dan anggota trafik akan bertugas di semua kawasan sasaran dan kawasan komersial.

 

“Penugasan ini adalah bagi memastikan masyarakat merasa melalui konsep penugasan ‘Perkhidmatan Diterima dan Dirasai’.

 

“Usaha ini adalah untuk menjamin keselamatan masyarakat dan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam di kawasan setempat khususnya di bandar raya Kuching sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun 2024,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

 

Dalam pada itu, ACP Ahsmon menasihatkan orang ramai yang akan meninggalkan rumah bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman atau bercuti di luar daerah agar mengisi borang pemakluman balik kampung.

 

Sehubungan itu, beliau berkata borang tersebut boleh didapati di balai polis terdekat atau secara dalam talian menerusi aplikasi VSP 2.0 dan melalui pautan Facebook IPD Kuching.

 

“Mereka yang memandu pula adalah dinasihatkan untuk merancang perjalanan serta membuat persiapan awal sebelum memulakan perjalanan.

 

“Diingatkan juga supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua,” jelasnya. -EDISI UKAS