MUKAH: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) mendedahkan sebanyak RM477, 189 jumlah tunggakan bayaran balik Skim Pinjaman Rumah Panjang untuk rumah-rumah panjang di bahagian Mukah setakat Julai 2024.
Menerusi kenyataan media HDC pada Jumaat, Pengerusinya Abdul Yakub Arbi berkata, peratusan tunggakan pula ialah 5.96%, berbanding RM13,755,000 jumlah pinjaman untuk 20 rumah panjang di bahagian Mukah.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Randau Skim Pinjaman Rumah Panjang HDC, bersama ketua Masyarakat dan tuai rumah-rumah panjang di bahagian Mukah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah.
Dalam program itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian memberitahu Randau HDC itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pembayaran balik pinjaman, memperkenal cara-cara pembayaran pinjaman terbaru, mempromosi skim pinjaman, serta berkongsi maklumat mengenai kemudahan insurans kebakaran yang disediakan HDC.
Turut serta pada program itu ialah ADUN Tellian Royston Valentine dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Fathi Hambali.
Skim Pinjaman Rumah Panjang diperkenal sejak 1978 dengan pinjaman dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dari 1978 hingga 2006.
Dari 2007 hingga 2024 pula, pinjaman menggunakan Tabung Amanah Skim Pinjaman dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Sehingga kini, 24,645 pintu telah dibina, melibatkan 1,133 projek rumah panjang dengan jumlah pinjaman sebanyak RM505.94 juta.
Maklumat lanjut berkenaan Skim Pinjaman Rumah Panjang dan borang permohonan boleh diperolehi di laman web rasmi HDC di hdc.sarawak.gov.my atau menghubungi Seksyen Pemasaran (Rumah Panjang) di talian 082-443681.-EDISI UKAS