Perpaduan, Keharmonian & Kesetiaan Rakyat Faktor Transformasi Sarawak Sebagai Wilayah Progresif & Makmur

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Perpaduan, keharmonian dan kesetiaan rakyat di negeri ini menjadi faktor dalam usaha mentransformasikan Sarawak sebagai wilayah progresif dan makmur.


Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, faktor-faktor tersebut akan mendokong usaha Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mencorak transformasi Sarawak.


"Beliau telah melakukan banyak perkara yang diyakini mampu membawa Sarawak ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang.


"Salah satu daripadanya ialah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menjadi rancangan dan program penting dalam strategi beliau mentransformasi Sarawak menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2024 pada Isnin.


Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Hari Raya Aidilfitri diraikan merentasi sempadan agama dan etnik, memupuk perpaduan dan keharmonian dikalangan setiap lapisan masyarakat di Sarawak.


"Ini adalah masa untuk kita tanpa mengira bangsa dan agama, bergaul antara satu sama lain meraikan persahabatan dan solidariti.


"Seperti perayaan lain, Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak atau Krimas, kita teruskan amalan mengunjungi rumah terbuka pada Hari Raya ini.


"Kita percaya amalan ini mampu meningkat dan mengukuhkan lagi keharmonian, perpaduan dan semangat kekitaan dalam membangunkan Sarawak," tambahnya. -EDISI UKAS