SUKMA 2024: Sarawak Sasar 6 Pingat Emas Untuk Sukan Tinju

Disiarkan pada 08 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) telah meletakkan sasaran sebanyak enam pingat emas untuk sukan tinju bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal berlangsung Ogos ini.

Menurut Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo, pihaknya berkeyakinan tinggi mampu capai sasaran tersebut oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Bakat Sarawak (MYSED). 

“Kita juga berkeyakinan tinggi Sarawak boleh menjadi pemenang keseluruhan untuk tinju kali ini.

"Ini merupakan keyakinan disebabkan persediaan, latihan termasuk kerjasama daripada MYSED membawa peninju kelak untuk latihan terakhir di Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media WBC di pejabat Sarawak Media Group pada Isnin.

Tambahnya, perkembangan sukan tinju negeri-negeri lain menyebabkan pihaknya tidak gentar untuk menyahut cabaran MYSED bagi mendapatkan enam pingat emas untuk SUKMA kali ini.

“Kalau dilihat perkembangan semasa yang kita lihat negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah, tidak mustahil Sarawak untuk mendapat enam emas disebabkan terdapat 16 kategori sukan tinju yang dipertandingkan,” ujarnya.

Selain itu ujarnya, kontinjen Sarawak bagi sukan tinju telah lama bersedia dengan peninju-peninju telah dikenal pasti dan turut akan bertanding bagi Kejohanan Terbuka Sarawak 2024 yang akan dilangsungkan bermula dari 6 hingga 10 Mac juga di Stadium Tertutup Petra Jaya. -EDISI UKAS