Rakyat Sarawak Digesa Ambil Peluang Terima Suntikan HPV
Posted on 23 Jul 2024
Source of News: UKAS
BINTULU: Rakyat Sarawak digesa untuk mengambil peluang mendapatkan perlindungan percuma daripada Papillomavirus manusia (HPV) untuk melindungi diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, Virus HPV menyumbang kepada 95 peratus kes kanser serviks di Malaysia di samping penyebab kepada kanser lain seperti kanser nasofaring, kanser tonsil, kanser zakar dan kanser faraj.
Jelasnya, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) telah pun memulakan usaha pencegahan HPV percuma ini di Sarawak dengan inisiatif Program Imunisasi HPV ‘Leaving No One Behind’.
“Saya telah dimaklumkan bahawa NCSM menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 50,000 rakyat Sarawak mendapat perlindungan daripada HPV, tanpa mengira jantina mereka.
“Saya menggesa semua rakyat Sarawak mengambil peluang mendapatkan perlindungan percuma daripada HPV untuk melindungi diri mereka, keluarga dan masyarakat.
“Lebih ramai orang dilindungi, semakin kurang virus ini dijangkiti, sekali gus mengurangkan beban di hospital negeri ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) Peringkat Negeri Sarawak di Bintulu pada Isnin.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menjelaskan, dengan perlindungan terhadap HPV jelasnya, kejadian kanser serviks dapat dikurangkan sehingga 90 peratus.
Untuk makluman, Program Imunisasi HPV ‘Leaving No One Behind’ menyasarkan warganegara Malaysia lelaki dan perempuan berumur 13 hingga 26 tahun yang tidak pernah mendapat perlindungan terhadap HPV dengan keutamaan diberikan kepada kumpulan yang terdedah dengan perlindungan adalah percuma.
Dalam program tersebut, kira-kira 300 orang menerima suntikan HPV dengan lebih 3,000 vaksin telah dibawa di Bintulu bagi meneruskan program ini di sekitar bahagian tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Micheal Tiang Ming Tee, President NCSM Dato' Dr Saunthari Somasundaram, Pengarah Urusan NCSM Profesor Madya Dr Murallitharan Munisamy, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Rohani Mat Bah serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS