Sibu Lokasi Pilihan Sarawak Agrofest 2025

Disiarkan pada 23 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS
BINTULU: Sibu akan menjadi lokasi pilihan Sarawak Agrofest pada tahun hadapan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi berharap, Sarawak Agrofest diadakan dalam sekala yang sama pada tahun hadapan dan memperoleh hasil keuntungan yang tinggi dari tahun ini.

“Kita telah menyasarkan sebanyak RM5,000,000 hasil keuntungan dan seramai 450,000 pengunjung sepanjang Agrofest ini berlangsung dan telah mencapai sasaran tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Sarawak Agrofest di Bintulu baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, antara tujuan penganjuran Agrofest adalah untuk mendekatkan pertanian dengan rakyat.

Selain usaha untuk mensejahterakan rakyat, kerajaan juga menyediakan peluang sosio ekonomi yang baik kepada rakyat sesuai dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, katanya.

Beliau menambah kementeriannya kini aktif dalam mempromosikan e-tani yang merupakan platform dalam talian khas untuk para petani didaftarkan bagi merekodkan profil petani.

Pada majlis penangguhan tersebut, Dato Sri Dr. Stephen turut menyampaikan hadiah cabutan pengunjung bertuah kepada tiga pemenang.

Turut hadir adalah Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Industri Makanan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Penasihat di Jabatan Premier Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom, Setiausaha Tetap M-FICORD Sirai Daha dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti. -EDISI UKAS