12 Negara Sahkan Penyertaan Untuk WBC 2024 Di Kuching 

Disiarkan pada 08 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebanyak 12 negara mengesahkan penyertaan pada Kejuaraan Tinju Dunia (WBC) yang julung kalinya diadakan di Malaysia bertempat di Stadium Tertutup Petra Jaya pada 11 Mei ini.

Menurut Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo, negara-negara yang mengesahkan penyertaan adalah Jepun, Myanmar, India, Thailand, Perancis, Filipina, Singapura, dan tuan rumah Malaysia.

“Manakala, Amerika Syarikat, United Kingdom, Brazil, Itali, Australia dan Kazakhstan masih dalam lagi perbincangan namun mereka telah memberi keyakinan untuk menyertai WBC kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media WBC di pejabat Sarawak Media Group pada Isnin.

Selain itu, perlawanan kali ini menyaksikan enam perlawanan utama termasuk perlawanan tumpuan iaitu Kilat Boy (Daeloniel McDelon) menentang Yutthichai Wannawong dari Thailand yang akan berentap untuk tali pinggang WBC bagi kategori ‘Super Bantamweight’ dan perlawanan peninju antara Jepun dan India yang akan merebut tali pinggang WBC bagi kategori ‘Flyweight’

Mengenai Kejohanan Terbuka Sarawak 2024, Rahman menjelaskan ia akan dilangsungkan bermula dari 6 hingga 10 Mei di Stadium Tertutup Petra Jaya dengan penyertaan dariapada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, malah petinju dari Acheh, Kalimantan, Singapura dan Sri Lanka turut mengesahkan penyertaan.

“Lebih kurang 150 orang peninju bakal menyertai untuk kategori elit, ‘umur Sukan Malaysia (SUKMA)’ dan bakat.

“Untuk kategori bakat, ia hanya untuk peserta Sarawak sahaja yang terdiri daripada peninju 13 pusat latihan di seluruh Sarawak,” jelasnya.

Ujarnya, kontinjen Sarawak juga akan mempertaruhkan barisan petinju muda dari skuad elit dan pembangunan sebagai pemanas badan untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. -EDISI UKAS