Kompleks Metanol Petchem Mampu Hasilkan 1.75 Juta Metrik Tan Setahun

Posted on 22 Jul 2024
Source of News: UKAS

BINTULU: Sarawak bakal menjadi salah satu pengeluar metanol global dengan penghasilan 1.75 juta metrik tan setahun metanol apabila fasiliti baharu Kompleks Metanol Sarawak yang terletak di Tanjung Kidurong Bintulu siap dan beroperasi sepenuhnya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia menjadi hasrat Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan Kompleks Metanol Sarawak Milik Petchem Sdn Bhd sebagai pemain penting dalam pasaran metanol global.

“Sarawak kini mempromosikan penyelesaian karbon rendah dan juga komited untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau bernilai tinggi seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR). 

“Dengan pelbagai projek perdana berbilion dolar di Bintulu, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab tenaga hijau serantau sekaligus akan memacu aktiviti ekonomi pesat yang akan membuka lebih banyak usaha niaga yang menguntungkan,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Perasmian Kompleks Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong Bintulu pada Isnin.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, projek itu juga selari dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah negari maju menjelang 2030 berpaksikan kepada tiga teras iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar. 

“Ini adalah bagaimana kita akan mengukur kemajuan di Sarawak.

“Seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid Sarawak 2030 (PCDS 2030), sektor pembuatan hiliran bernilai tinggi merupakan enjin pertumbuhan utama dalam mengubah Sarawak menjadi ekonomi yang kompetitif,” tambahnya.

Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan tiga pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sarawak Petchem Sdn Bhd masing-masing dengan PETROS, Sarawak Energy Berhad dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusuf, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan yang lain.-EDISI UKAS