Para Pemimpin Bekerja Keras Majukan Sarawak
Disiarkan pada 22 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS
BINTULU: Para pemimpin kerajaan Sarawak terus bekerja keras demi memajukan negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Sarawak mempunyai kapasiti serta barisan pemimpin yang berkebolehan untuk memimpin negeri ini ke arah kemajuan.
Menurut beliau, Sarawak sebuah negeri yang kaya dengan sumber dan akan ketinggalan sekiranya sumber sedia ada tidak dimanfaatkan.
"Bagi pihak Kerajaan Sarawak, kami bekerja keras bukan sahaja untuk meningkatkan ekonomi sosial, tetapi juga ketersambungan.
“Di samping itu, kita juga akan memperoleh syarikat penerbangan sendiri, memperoleh kepentingan utama dalam bank dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Jamuan Tengah Hari Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Bersama Pemimpin Masyarakat Bahagian Bintulu pada Isnin.
Majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi ini turut dihadiri seramai 90 orang Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) di sekitar Bintulu.
Antara pengisian program termasuk persembahan tarian selamat datang dari Kumpulan Tarian BLF dan persembahan nyanyian dari Rhythm Raga Buskers.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berkesempatan meluangkan masa menyantuni para KMKK dan teramu-tetamu lain yang hadir.
Untuk rekod, ini merupakan kunjungan rasmi pertama Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi ke Bintulu sejak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-8 pada 26 Januari lepas.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon dan Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS