Unit SEBERKAS Kampung Muhibbah Anjur Program Jerayawara Bubur Lambuk Dan Majlis Berbuka Puasa

Disiarkan pada 08 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Unit SEBERKAS Kampung Muhibbah dengan kerjasama SABERKAS Cawangan Bukit Goram telah menganjurkan Program Jerayawara Bubur Lambuk Dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Kampung Muhibbah pada Sabtu. 

Selain mengagihkan bubur lambuk dan berbuka puasa, turut diadakan penyerahan bantuan berupa bakul makanan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Berucap dalam program berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat menyatakan akan memberi jaminan bantuan dari segi kewangan, projek atau barangan kepada penduduk Kampung Baru, Kampung Bistari dan Kampung Muhibbah mengikut keperluan.

“Saya sebagai ADUN kawasan di sini akan sentiasa memberikan pertolongan serta bantuan dari segi kewangan atau barangan sekiranya perlu supaya program sebegini dapat kita laksanakan dan dapat kita meriahkan lagi di masa akan datang.

“Program sebegini adalah sebagai penerap kepada generasi muda untuk terus mengamalkan budaya atau mengadakan program sebegini yang bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim serta hubungan di antara kita semua pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.
 
Dalam program sama, Datuk Jefferson turut menyampaikan bantuan duit raya kepada keluarga kurang berkemampuan bagi meringankan perbelanjaan mereka untuk membeli persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Hadir sama wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit ASP Anthony Apoi, Pengurusi SEBERKAS Cawangan Bukit Goram Judson Jarrau, Temenggong Wasli, Pemanca Hamzah, Pemanca Pasang serta tetamu lain.-EDISI UKAS