Semarak Syawal Agro Madani: 4,000 Keping Kupon Promosi Pembelian Daging & Ayam Disediakan

Disiarkan pada 08 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Sebanyak 4,000 keping kupon promosi bagi pembelian daging dan ayam segar disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan keperluan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman berkata, program Semarak Syawal Agro Madani @ Medan Niaga Satok (MNS) yang dilaksanakan selama dua hari bermula 8 hingga 9 April ini adalah bagi memudahkan pengunjung mendapatkan keperluan menjelang lebaran.

"Jadi program yang dicadangkan ialah program seperti ini dimana kita memberikan baucar kepada penerima untuk membeli daging dan ayam.

"Kita tahu menjelang Aidilfitri, ini adalah bahan-bahan yang selalu dan banyak digunakan oleh masyarakat kita. Jadi, dengan baucar RM5 dan RM3 ini kita merasakan bahawa ianya akan dapat membantu keluarga-keluarga meraikan Aidilfitri dan pada masa yang sama dapat menjimatkan perbelanjaan mereka.

"Kita menyediakan 4,000 keping baucar untuk kita edarkan kepada masyarakat di sekitar Kuching ini," katanya semasa ditemui pemberita selepas menyempurnakan program tersebut di Kuching pada Isnin.

Penglibatan outlet-outlet pemasaran ini tambahnya, memberi peluang kepada pengunjung dan pengguna mendapatkan barangan keperluan perayaan Aidilfitri pada harga yang berpatutan.

Turut hadir dalam program berkenaan, Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir, Pengarah FAMA Negeri Sarawak Ramli Mat Sani serta pegawai lain.-EDISI UKAS