SARAWAK MENUJU KEMAJUAN & KEMAKMURAN

Disiarkan pada 22 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS

Hari Sarawak disambut pada 22 Julai setiap tahun sebagai tanda memperingati detik bersejarah ketika kolonial British mengundur diri dan menyerahkan kuasa pentadbiran Sarawak kepada rakyatnya sendiri pada 22 Julai 1963, sebelum terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 16 September, tahun yang sama.

Sejak diisytihar sebagai cuti umum atau Hari Kelepasan Am bagi Sarawak pada 2016 oleh Mantan Ketua Menteri ketika itu Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, wilayah Sarawak dalam Malaysia meraikan tarikh penuh bermakna ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin serta generasi terdahulu yang telah berjuang membebaskan Sarawak daripada naungan penjajah.

Dalam masa sama, ia memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi terkini sekali gus membangunkan kesedaran untuk memahami dengan lebih mendalam hala tuju dan matlamat Sarawak pada masa hadapan.

Buktinya, bendera Ibu Pertiwiku tetap terlihat berkibar megah menghiasi tempat-tempat awam, kawasan sekolah, bangunan kerajaan termasuk premis-premis perniagaan sama ada di bandar atau kampung, selain melihat peningkatan jumlah golongan muda yang semakin giat memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan Sarawak.

Pada tahun ini, penduduk Bumi Kenyalang menyambut Hari Sarawak ke-61 bertemakan 'Sarawak Maju Makmur' dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah dirancang, terutama di Bahagian Bintulu yang sekali lagi dipilih sebagai venue utama sambutan tersebut buat kali kedua.

Menariknya, bandaraya yang terkenal dengan minyak dan gas itu seakan-akan dirahmati apabila bumi bertuah ini secara rasminya mendapat hak untuk mengawalselia pelabuhan Bintulu setelah dua Rang Undang-Undang (RUU) yang berkaitan telah dilulus oleh Dewan Rakyat pada 16 Julai lepas, sekali gus menjadikan semua pelabuhan di wilayah ini kini milik kerajaan Sarawak.

Peristiwa baharu yang dilakar ini menandakan langkah positif dalam pembangunan dan tadbir urus Sarawak ke arah kemajuan dan kemakmuran yang lebih besar.

Mengimbas bingkisan rakaman temubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yang lalu, beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak 2024 telah berkongsi pendapat mengenai perkataan 'Maju dan Makmur' yang dilihat bertepatan dengan semangat pembangunan dan kemakmuran yang diusaha oleh kerajaan Sarawak ke arah memperjuangkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Pembangunan yang telah kita capai pada ketika ini sudah ketara, jadi kemakmuran akan datang secara automatik. Dari segi sejarahnya, tanggal 22 Julai ini harus kita seluruh rakyat di wilayah ini meraikannya.

"Suka saya kongsikan juga, kerajaan yang dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari telah menarik minat dunia dari segi penggunaan tenaga hijau, hidrogen, alga, tenaga boleh diperbaharui dan sebagainya,"katanya.

Pengisian program sambutan Hari Sarawak tahun ini dimulai dengan Majlis Kesyukuran bagi penganut agama Kristian, Buddha, Tao, Sikh, Hindu dan Baha’i anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Dewan Suarah Bintulu pada 20 Julai (Sabtu), jam 10 pagi.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga timbalan menteri bertanggungjawab bagi majlis kesyukuran tersebut, Datuk Dr Penguang Manggil menekankan bahawa sikap toleransi beragama yang wujud dalam kalangan rakyat menjadi kunci utama keharmonian Sarawak.

"Inilah kekuatan kita yang tidak dapat ditemui di tempat lain, yang mana kita walaupun berbeza kaum, agama dan bangsa, tetapi kita tetap dapat duduk dan makan bersama.

"Sebagai anak Sarawak, budaya seumpama ini adalah sesuatu yang kita banggakan dan saya berharap ia dapat dikekalkan sampai bila-bila,"ujarnya menerusi program bual bicara Juh Randau terbitan UKAS.

Menghormati pegangan agama yang berbeza dalam kalangan rakyat Sarawak, Majlis Kesyukuran bagi umat Islam anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak yang diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus juga diadakan pada 21 Julai (Ahad) di Masjid Assyakirin Bintulu bermula jam 6 petang.

Keesokan harinya pada 22 Julai (Isnin) pula, rakyat Sarawak terutama warga Bintulu diceriakan dengan aktiviti 'Fun Ride' melibatkan kayuhan basikal sejauh 15 kilometer anjuran Jabatan Belia dan Sukan di Dewan Suarah Bintulu seawal jam 7 pagi.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat yang menggalas tanggungjawab memastikan kelancaran aktiviti tersebut menyatakan harapannya agar komuniti setempat dapat menggunakan peluang berkenaan untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan semangat kebersamaan antara satu sama lain.

"Aktiviti sihat yang menjadi sebahagian daripada program sambutan Hari Sarawak merupakan salah satu usaha kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membudayakan riadah bersukan supaya masyarakat kita kekal cergas seterusnya berproduktiviti tinggi selaras dengan wawasan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030," katanya kepada UKAS dalam program bual bicara sama sebelum ini.

Selain itu, sesi 'townhall' anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang diketuai Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew juga tidak terlepas mengisi jadual sambutan Hari Sarawak 2024 pada Isnin, bertempat di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, jam 2 petang.

Menyentuh perkongsian Datuk Sebastian ketika turut diundang sebagai tetamu khas dalam Juh Randau tempoh hari, katanya townhall itu bertujuan untuk memberi inspirasi dan menggerakkan minda generasi muda mengenai masa depan Sarawak dan cara untuk membangunkannya.

"Adalah sangat penting untuk melibatkan sebahagian besar peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, kolej dan universiti kerana mereka adalah bakat yang akan membantu Sarawak untuk terus maju ke arah ekonomi hijau,"ujarnya lanjut.

Dalam perkembangan lain, pada hari yang sama, Kompleks Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong turut dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Manakala, Perhimpunan Hari Sarawak 2024 pula berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu pada jam 8 malam yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Datuk Patinggi Abang Zohari dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang diikuti menteri-menteri kabinet Sarawak dan ahli-ahli Yang Berhormat.

Majlis penuh gilang gemilang itu dianjurkan oleh Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) dengan kerjasama Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Bintulu yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala serta Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi.

Acara kemuncak sambutan dirancakkan dengan persembahan percikan bunga api yang mewarnai ruang udara kawasan utara Sarawak itu sekali gus menyaksikan genap 61 tahun wilayah ini merdeka dalam Malaysia.-Edisi UKAS