Ajar Kepentingan Jaga Kesihatan Kepada Kanak-Kanak

Disiarkan pada 21 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS

MIRI: Kepentingan menjaga kesihatan mesti diajarkan pada peringkat awal kepada kanak-kanak.

 

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni memberitahu, Malaysia sekarang menghadapi kelaziman berkenaan masalah kesihatan terutamanya obesiti di kalangan kanak-kanak.

 

“Kita berharap agar negara ini mendapat ketersamaan terutama sekali bukan hanya di pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi di pihak kementerian, agensi lain dan juga rakan-rakan media untuk dapat memuatkan penulisan berkaitan tentang kesihatan dalam pelaporan setiap hari. 

 

“Selain daripada itu, kita juga mempromosikan program-program seperti kelas doktor muda di sekolah-sekolah dan termasuk kelas sekolah, jadi kita ada tunas doktor muda dengan kerjasama KKM dan juga sekolah rendah serta sekolah menengah,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Kembara Sihat Sejahtera Hepili Bersama Didi & Friends Zon Sarawak di sini pada Ahad.

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Sibuti itu berkata, pada masa ini Miri mempunyai lima doktor pakar kanak-kanak yang mencukupi untuk menampung keperluan Bandaraya Miri.

 

“Pembukaan bangunan hospital yang baharu di sini juga merupakan salah satu usaha di mana kita mewujudkan wad kanak-kanak yang lebih komprehensif.

 

“Kita juga mempunyai usaha untuk meningkatkan lagi kapasiti bukan hanya sekadar pakar kanak-kanak tetapi kepakaran-pekaran yang lain untuk di negeri Sarawak,” ujarnya.

 

Turut hadir ialah Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah, Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia Suraiya Syed Mohamed dan wakil Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Mariam Monek. -EDISI UKAS