MIRI: Industri kraftangan di Sarawak memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi dan menjana pendapatan penduduk setempat.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dato Dennis Ngau berkata, berdasarkan laporan daripada Majlis Kraf Sarawak, hasil jualan kraftangan di Sarawak pada tahun 2030 adalah dijangka sebanyak RM23 juta.
Menurutnya, ini menunjukkan industri kraftangan di Sarawak mempunyai banyak potensi untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi negeri.
“Baru-baru ini kita adakan Gawai Bazaar di Kuching bersempena perayaan Gawai Dayak di mana seramai 25 pengusaha telah menjual kraftangan mereka.
“Dalam tempoh satu bulan, hasil penjualan kraftangan bazaar itu adalah sebanyak RM500,524,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Bengkel ‘Bua Tebaeng Bela’ Orang Ulu Cara Asli di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usang itu menambah, industri kraftangan mempunyai empat cara untuk menikmati hasil ekonomi.
“Pertama ialah penghasil yang tidak mungkin menjual kraftangan secara langsung tetapi kraftangan dihasilkan untuk masa yang diperlukan.
“Kedua ialah pengusaha, ketiga ialah penjual dan cara keempat ialah pemasar kraftangan,” ujarnya.
Difahamkan, seramai 70 peserta telah mengambil bahagian dalam bengkel tersebut anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bertujuan memartabatkan warisan budaya kaum Orang Ulu dan memperkasa komuniti itu melalui aktiviti keusahawanan.
Turut hadir ialah isteri kepada Dato Dennis, Datin Debbie Irang, wakil Pengurus Besar SEDC Nikk Adam Abdillah Kipalli, Ketua Wanita Cawangan Telang Usan Margaret Nawan dan Ketua Wanita Ranting Long Lama Hulu merangkap Pengerusi Penganjur Julia Baun Ngau. -EDISI UKAS