MIRI: Rakyat Sarawak diseru terus memberi sokongan kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk pembangunan negeri.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, Kerajaan Sarawak telah berusaha mengambil balik hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekaligus memacu pembangunan negeri ini.
“Kerajaan Sarawak telah berjaya mengambil balik Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan dimiliki kerajaan yang bakal memanfaatkan negeri ini dalam mengeksport gas asli cecair (LNG) serta mengambil balik Empangan Bakun,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Pujut di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut itu menambah, Kerajaan Sarawak juga bakal memperoleh saham tambahan dalam Affin Bank selepas mengkaji syarat-syarat yang dikenakan oleh Bank Negara.
Dalam majlis sama, beliau telah menyampaikan geran MRP berjumlah RM63,000 kepada sebanyak 20 persatuan di Bandaraya Miri.
Beliau menekankan persatuan-persatuan di Miri dapat menggunakan dana tersebut dengan sebaik-baiknya untuk aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli dan komuniti. -EDISI UKAS