Skuad Muay Thai Sarawak Berguru Di Thailand, Tingkat Persiapan
Disiarkan pada 20 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS
BANGKOK: Skuad muay thai Sarawak terus mempertingkatkan persiapan menjelang bermulanya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 pada Ogos depan dengan menjalani latihan pendedahan di Thailand.
Atlet Sarawak berkampung di Koh Samui, Thailand sejak Jumaat untuk menjalani latihan selama 14 hari di mana mereka akan turut menyertai pertandingan antarabangsa di sana.
Menurut Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim, ia pusingan kedua latihan atlet muay thai Sarawak di Thailand selepas sesi pertama diadakan pada Jun lepas juga selama 14 hari.
“Mereka akan menjalani latihan selama 14 hari di sana di mana beberapa atlet kita juga akan menyertai perlawanan jemputan antarabangsa, Muay Thai Super Fight bertempat di Stadium Koh Samui Thailand.
“Selepas itu, mereka akan kembali ke Kota Bahru (Kelantan) untuk mengikuti latihan kecergasan sebelum kembali ke Kuching pada 10 Ogos dan terus ke Bintulu pada 11 Ogos nanti,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Jumaat turut meluangkan masa melawat kem latihan atlet muay thai Sarawak di sana untuk meninjau persiapan terkini anak-anak buahnya.
Katanya lagi, selain di Koh Samui, atlet Sarawak juga menjalani latihan Muay Boran di Bangkok selama 14 hari.
Setakat ini, beliau berpuas hati dengan persiapan atlet namun mahu mereka menterjemahkan apa yang mereka pelajari di Thailand apabila turun beraksi nanti.
"Thailand menjadi lokasi terakhir latihan pendedahan atlet kita sebelum mereka menyertai SUKMA XXI pada Ogos depan. Kita mahu mereka benar-benar bersedia sebelum turun ke gelanggang kelak.
"Pihak PMNS ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak muay thai Koh Samui kerana sudi memberi kebenaran kepada atlet kita menjalani latihan di sini.
“KIta juga ingin mengucapkan penghargaan ke atas Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak atas sokongan membolehkan atlet kita menjalani latihan di Thailand.
"Harapan saya agar atlet menggunakan sebaiknya ilmu yang mereka perolehi di sini untuk memberikan aksi sebaik mungkin kelak untuk menyumbang pingat kepada kontinjen Sarawak kelak,” ujar Jumaat lagi.
Sebelum ini, beberapa atlet muay thai Sarawak turut menjalani latihan di Pontianak, Indonesia.
Untuk rekod, sukan muay thai akan berlangsung dari 15 hingga 20 Ogos di Naim Street Mall @ Bintulu Paragon. - EDISI UKAS