Sultan Ibrahim Selamat Ditabal Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17

Disiarkan pada 20 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS

KUALA LUMPUR: Sultan Ibrahim selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam suasana gilang-gemilang dan penuh isitiadat di Istana Negara pada Sabtu.

Istiadat pertabalan baginda dimulakan dengan upacara Hormat Diraja daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu cabang darat, laut dan udara.

Upacara tersebut signifikan kepada lambang kesetiaan pasukan tentera Malaysia kepada Sultan Ibrahim selaku Pemerintah Tertinggi ATM.

Sebaik tiba di Peterana Diraja, Yang di-Pertuan Agong diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dibarisi empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan yang turut membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen 1 RAMD.

Bagi melengkapkan istiadat pertabalan yang diadakan lima tahun sekali itu, Sultan Ibrahim melafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang mana Baginda menekankan prinsip pemerintahan berteraskan undang-undang dan Perlembagaan negara.

Pelantikan Sultan Ibrahim adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.

Turut hadir menyaksikan pertabalan Sultan Ibrahim ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Istiadat Pertabalan Agong turut menyaksikan Raja-Raja Melayu berangkat tiba ke Istana Negara disusuli pemimpin negara dan kemudiannya ketua-ketua negeri di seluruh Malaysia. -EDISI UKAS