Dewan Serbaguna Kampung Sungai Paoh Kini Beroperasi Sepenuhnya

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Penduduk di Kampung Sungai Paoh kini boleh menarik nafas lega apabila dewan serbaguna kampung berkenaan kini telah pun siap dan dapat beroperasi sepenuhnya.

Dewan yang mulai dibina pada tahun 2018 dengan perutukan dana projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM200,000 itu kemudiannya dinaik taraf pada tahun 2020 melibatkan dana berjumlah RM110,000.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Paoh telah menjemput Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben untuk hadir sekaligus merasmikan dewan tersebut. 

Dalam kesempatan itu, Datuk Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup turut menyampaikan sijil lantikan kepada JKKK Sungai Paoh.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan dana projek Program Transformasi Laur Bandar (RTP) berjumlah RM150,000 untuk menaik taraf Gereja St Andrew manakala permohonan kemudahan lain di gereja berkenaan akan diteliti kemudian.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Daerah Serian merangkap Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Setiausaha Majlis Daerah Serian Tay Guan Huat, Ketua Kampung Sungai Paoh Terry Aban, Pemanca Bidayuh Bahagian Serian Jacques Kantuh, Penghulu Kawasan Kedup Jambeng Sorak serta Ahli-Ahli Majlis Daerah Serian Emmanuel Henry dan Robin Augustine Kiek. -EDISI UKAS