Premier Sarawak Sempurnakan Sumbangan Hari Raya Kepada Kanak-Kanak Pusat Jagaan Nur Murni

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak asnaf dari Pusat Jagaan Nur Murni pada Ahad.

Dalam majlis tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 35 penghuni pusat jagaan berkenaan. 

Majlis anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah RM8,000 kepada pusat jagaan tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi SDEC dan CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani. 

Terdahulu, Premier Sarawak dan jemputan kenamaan berkesempatan menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah bersama tetamu yang hadir dalam majlis tersebut. 

Usai majlis makan malam dan penyampaian sumbangan, rombongan kenamaan turut menunaikan solat fardhu Isyak dan solat sunat Tarawih sebelum majlis bersurai. 

Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS