60 Murid SK Assyakirin Diraikan 

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



BINTULU: Terpancar jelas wajah ceria 60 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Assyakirin apabila dibawa membeli-belah barang keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Aktiviti tersebut merupakan anjuran Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab (PAIBA), Jawankuasa Kebajikan Islam Assyakirin (JAKIDA) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Assyakirin yang diadakan di Jun Rong Medan Sentral, Bintulu pada Sabtu.

Program ini turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, yang turut menghulurkan sejumlah sumbangan sebagai tanda sokongan kepada pihak sekolah.

Menurutnya, penganjuran program Jalinan Kasih Di Aidilfitri SK Assyakirin bantuan amal itu sedikit sebanyak dapat membantu rakyat, khususnya golongan yang memerlukan, dalam persiapan untuk menyambut perayaan Aidilfitri.

Pada masa sama, beliau menzahirkan rasa gembira dengan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah terbabit untuk membantu murid-murid yang memerlukan.

Hadir sama, Guru Besar SK Assyakirin Bintulu Arbah Tusin. -EDISI UKAS