SARIKEI: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) telah diberi mandat untuk membangunkan TEGAS Lodge Sarawak yang merupakan sebuah Co-Living yang dilengkapi dengan beberapa fasiliti kemudahan, ruang pejabat untuk syarikat pemula.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, tujuan penubuhan TEGAS Lodge Sarawak ini adalah untuk menarik seberapa banyak Digital Nomad iaitu Syarikat Pemulauar Negara untuk menjadikan Sarawak sebagai lokasi pilihan selain memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk berkolaborasi serta memudahkan permindahan teknologi.
"Pada tahun lepas, TEGAS telah mendapat satu khabar gembira di mana YAB Premier Sarawak dalam ucapan perasmiannya di salah satu program TEGAS iaitu SCaT Fair 2023 telah memberi mandat untuk membangunkan TEGAS Lodge Sarawak.
"Pemberian mandat ini oleh YAB Premier membuktikan bahawa segala inisiatif serta usaha TEGAS dalam mendukung visi Ekonomi Digital telah diiktiraf dan dihargai oleh Kerajaan Sarawak," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jerayawara Project Of Dream Realized (PRO-DR) Edisi Ke-9 2024 di Dewan Sentral Sarikei pada Khamis.
Justeru itu, kepentingan Digital Nomad kepada visi mentranformasikan ekonomi Sarawak ke arah digital adalah sangat penting terutamanya dalam menyokong ekosistem syarikat pemula yang sedia ada.
Di antara impak Digital Nomad kepada ekonomi Sarawak adalah meningkatkan kemampuan ekosistem ekonomi digital tempatan di mana perkongsian kemahiran, teknologi serta pengetahuan bagi memacu ekonomi.
Ianya juga dapat membuka ruang kepada perniagaan dalam bidang baru terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi.
Selaku Pengerusi TEGAS, Datuk Len yakin TEGAS Lodge Sarawak akan memberi impak besar seperti yang telah dibuktikan oleh TEGAS Digital Village dan TEGAS Digital Innovation Hub.
Ini kerana katanya inisiatif yang dilakukan mensasarkan semua lapisan masyarakat bermula dari pelajar Pra sekolah sehingga belia.
Beliau juga berharap semua pihak menyokong perjuangan TEGAS dalam menyahut cabaran yang diberikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam membangun dan mempersiapkan anak-anak muda dalam menghadapi industri digital di masa akan datang.
Hadir sama ialah wakil Residen Bahagian Sarikei Moses Ta-Ai, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak Udin Bujang, Pegawai Daerah Sarikei Louis Teo Soon Guan dan Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung. - EDISI UKAS