Kuching Jazz Festival 2024 Tampilkan Siri Aktiviti Menarik

Posted on 18 Jul 2024
Source of News: UKAS




KUCHING: Penganjuran Festival Jazz Kuching 2024 bakal menjanjikan keunikan buat penggemar genre itu yang akan berlangsung 4 hingga 5 Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hemisphere Corportaion Mark James Jantin Ferguson berkata festival ikonik di bandar raya Kuching bakal dimulakan dengan tiga acara baharu.

Ia akan diadakan sebelum tirai kemuncak acara tahunan festival muzik di Sarawak itu bermula di Tebingan Kuching.

“Acara pertama ialah Kempen 'Love in A Box' (27 September hingga 5 Oktober), satu inisiatif komuniti yang bertujuan memberi sokongan dalam komuniti setempat.

“Acara kedua ialah Makan Malam Charity JazzGala pada 28 September, acara bagi mengumpul dana untuk badan amal tempatan dan acara ketiga ialah pertandingan Jazz.

"Dalam pada itu, pertandingan di Amfiteater Tepi Air Kuching bakal mempamerkan bakat jazz yang baharu. Pada hari kedua akan diadakan Jazz and Blood Donation Drive, yang mana peminat muzik dijemput untuk menderma darah sambil menikmati persembahan jazz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kuching Jazz 2024 di Hotel Riverside Majestic di sini pada malam Rabu.

Sementara itu, Mark kemudiannya mengumumkan bahawa pasukan dari Kampung Budaya Sarawak (SCV) dilantik sebagai pengurus acara untuk festival tahun ini.

“SCV bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya Sarawak tetapi telah berkembang menjadi penganjur acara utama dengan rekod prestasi yang luar biasa dalam pengurusan acara,” tambahnya.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain.

Festival muzik jazz itu akan menampilkan beberapa nama besar seperti Improvisor, Sang Timur, Suhu, Zee Avi, dan Aruel Ariel dan The Fasola, dengan lebih banyak barisan artis akan diumumkan tidak lama lagi.

Untuk rekod, Kuching Jazz dimulakan pada 2017 bagi meraikan kepelbagaian muzik, menyatukan artis berbakat dari seluruh dunia untuk mempamerkan gabungan genre dan budaya.

Misi festival ini adalah untuk meletakkan Sarawak dan Malaysia sebagai destinasi acara utama sambil mengukuhkan Kuching sebagai tempat tumpuan global untuk peminat jazz.

Kuching Jazz 2024 dijangka menarik pelbagai pengunjung, termasuk peminat muzik, pelancong dan penduduk yang akan bersama-sama meraikan keindahan hiburan di rantau ini. -EDISI UKAS