Orang Ramai Diseru Bantu Komuniti Pekak

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Orang ramai diseru untuk membantu golongan pekak agar masyarakat ini tidak terpinggir dalam arus pembangunan khususnya di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan Sarawak akan meneruskan komitmen dalam meningkatkan kehidupan individu pekak.

"Terdapat kira-kira 3,000 orang pekak di Sarawak dan kira-kira 10 peratus daripada mereka adalah ahli Persatuan Orang Pekak Sarawak.

"Adalah penting bagi mereka untuk melakukan program intervensi ini, kerana mereka tidak memilih untuk dilahirkan untuk pekak, maka penting bagi mereka melakukan program sokongan yang sewajarnya melalui Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak (SSD).

"Mereka sebenarnya boleh hidup berdikari dan menyumbang kepada Sarawak dalam banyak cara,"

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pesta Makanan Amal SSD 2024 anjuran SSD bertempat di Persatuan Gereja-Gereja Sarawak, Jalan Stampin, di sini, pada Ahad.

Pesta diadakan untuk mengumpul dana yang diadakan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari tersebut.

Pengumpulan dana ini pula adalah untuk mengubah suai bangunan SSD terutamanya bilik suntingan Video dan bilik darjah Kelas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), kafe baharu, tuisyen Pekak, taman mini dan menyokong aktiviti Orang Pekak.

Setiap tahun pusat SSD itu akan menganjurkan pelbagai projek seperti bengkel latihan, kem motivasi dan banyak lagi untuk masyarakat Pekak mempelajari kemahiran baharu dan meningkatkan kemahiran sosial serta kemahiran hidup mereka.

Hadir sama dalam program tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How, Pengerusi SSD Albert Wong dan ahli-ahli jawatankuasa dari Persatuan Orang Pekak Sarawak. -EDISI UKAS